.
‘Talbiyah’ ialah ucapan kehadiran yang dilafaz oleh para Jemaah Haji setelah berihram ketika berada di tanah suci. Bertalbiyah dengan menyahut seruan Allah, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.
.
Bacaan Talbiyah dilakukan secara terus
menerus. Para jemaah digalakkan memperbanyakkan bertalbiyah di sepanjang
perjalanan hingga sampai ke Makkah untuk mengerjakan rukun-rukun Haji
atau Umrah. Talbiyah juga boleh ditambah dengan bacaan Tahlil. Talbiyah
dihentikan setelah sampai di Makkah sekembalinya para jemaah dari
Arafah.
.
Talbiyah akan berterusan, berulang-ulang
dan bergema di seluruh tanah haram Makkah yang dikumandangkan para
jamaah haji. Sungguh suatu pemandangan yang menyentuh hati dan perasaan,
pemandangan yang mengharukan dan membanggakan. Mereka berpakaian yang
sama-sama putih bagi lelakinya dan berpakaian menutup aurat bagi
perempuannya, tanpa membeza-bezakan kedudukan dan martabat dunia, bangsa
dan suku kaum, ulama dan awam. Semuanya berpadu menyambut seruan Allah
SWT dengan mengucapkan Satu Kalimat Talbiyah yang sama;
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
.
.
Firman Allah SWT:“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadaMu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”
(Surah Al-Hajj :27)
.
Berkata Ibnu Abbas r.a. dalam menafsirkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj ini : “Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Ibrahim AS berkata:
يا أيها الناس إن ربكم اتحذ بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب أو شيئ فقالوا لبيك اللهم لبيك (رواه ابن جرير 17\106)
“Wahai
manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan
memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini
apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit
debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك……” (HR Ibnu Jarir 17/106)
.
.
.
A. Keutamaan Talbiyah
.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda mengenai fadhilat talbiyah.
.
1. Disebutkan dalam satu riwayat
daripada Sayyidina Abu Bakar As Sidiq Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi صلى
الله عليه وسلم telah ditanya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda
menjawab: “Menyaringkan ucapan Talbiyah dan menyembelih bintang korban.” (Hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Zarr.)
.
2. Ibnu Majah pula meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Telah datang kepada ku Jibril alaihissalam seraya berkata:
“Ya Muhammad! Perintahkan sahabat-sahabat Mu menyaringkan suara-suara
mereka dengan talbiyah kerana talbiyah itu adalah syi‘ar ibadat haji.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
.
3. Hadith dari Jabir bin Abdullah r.a. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“Setiap mereka yang berihram bila menghabiskan masanya bertalbiyah
hingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau
hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru
dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Ibni Majah)
.
.
.
B. Hukum Membaca Talbiyah
Jumhur Ulamak menetapkan bahawa
Talbiyah itu disyariatkan untuk dibaca oleh para Jemaah Haji dan Umrah
ketika dalam keadaan Ihram. Jemaah Haji adalah disunatkan juga sentiasa
melafazkan ucapan Talbiyah sepanjang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah.
.
Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmuk
menyebutkan bahawa Imam as-Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya sepakat
mengatakan talbiyah adalah sunat (mustahab). Jika ditinggalkan, haji
yang dikerjakan oleh seseorang itu tetap sah dan tidak dikenakan dam.
Walau bagaimanapun dia tidak mendapat pahala fadhilat talbiyah tersebut.
.
Menurut pendapat yang mashyur dalam
mazhab Syafi‘e iaitu qaul Jadid dengan berdasarkan dalil-dalil yang
ashah bahawa tidak disunatkan bertalbiyah ketika Tawaf Qudum dan Sa‘ie
kerana tawaf itu mempunyai zikir-zikir yang khusus dan lebih utama
membaca zikir-zikir tersebut. Begitu juga tidak disunatkan membaca
talbiyah ketika Tawaf Ifadhah dan Tawaf Wada‘ kerana ia terkeluar
daripada waktu-waktu yang disunatkan.
.
.
.
C. Makna Talbiyah
.
‘Talbiyah’ berasal dari
perkataan Arab yang bermaksud membalas atau menjawab seruan sama ada
dalam ibadat haji atau selain daripadanya seperti walimah. Dalam ibadat
haji ia bermaksud ucapan orang-orang yang sedang berihram dengan
mengucapkan;
.
Talbiyah Haji dan Makna Terjemahan Rumi
Lafaz Talbiyah di atas adalah talbiyah
yang diucapkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم sebagaimana yang
disebutkan dalam satu riwayat Bukhari daripada Abdullah bin Umar
Radhiallahu ‘anhuma.
.
Dalam riwayat yang lain: “Daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم setelah duduk di atas kenderaannya untuk bertolak dari masjid Zi al-Hulaifah, Baginda membaca Talbiyah: “Hamba-Mu
datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut
panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak
ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya
segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada
sekutu bagi-Mu.” (Hadis riwayat Muslim)
.
.
.
D. Tafsir Makna Talbiyah
.
Talbiyah mempunyai makna yang agung,
kerana mengandungi tauhid dan kebesaran Allah SWT. Hal ini dapat dilihat
dari makna kata-kata dalam talbiyah tersebut, sebagaimana yang berikut
ini:
.
(اللهم): Wahai Allah!
(لبيك): Adalah penegas yang
mempunyai makna baru, maka daku mengulang-ulangi dan menegaskan bahawa
daku menjawab atau menerima panggilan Tuhanku (Rabb) dan tetap dalam ketaatan kepada-Nya.
(لا شريك لك): Tiada satu pun yang menyekutukan Allah SWT dalam segala sesuatu.
(لبيك): Sebagai penegas bahawa
daku menyahut panggilan Haji itu hanya semata-mata kerana Allah, bukan
kerana pujian, ingin terkenal, ingin harta, dan lain-lain, akan tetapi
daku berhaji dan menerima panggilan tersebut kerana Dikau sahaja.
(إن الحمد و النعمة لك والملك): Sesungguhnya daku berikrar dan mengakui bahawa semua pujian, nikmat dan kekuasaan itu hanyalah milik-Mu sahaja.
(لا شريك لك): Dan kesemua itu tidak ada sekutu bagiMu.
.
Jika diteliti makna kata-kata yang ada
dalam talbiyah tersebut, didapati adanya penetapan tauhid dan
jenis-jenisnya, sebagaimana disampaikan oleh Jabir berkata:
فَأَهَلَّ بِالتَّوْحِيْدِ
(Rasulullah SAW bertalbiyah dengan tauhid)
.
Hal ini ampak jelas apabila kita mentelaah dan memahami makna kata-kata tersebut, lihatlah dalam kata-kata (لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك) menghapuskan kesyirikan dalam ibadah, kemudian (والملك لا شريك لك) terdapat Tauhid Rububiyyah kerana kita telah menetapkan kuasa yang mutlak hanya kepada Allah SWT semata.
.
Hal ini juga menuntut seorang hamba untuk
mengakui tauhid uluhiyyah, kerana iman kepada tauhid rububiyyah
memerlukan iman kepada tauhid uluhiyyah dan dalam kata (إن الحمد و النعمة لك)
terdapat penetapan sifat-sifat terpuji pada zat Allah. Juga menetapkan
semua perbuatan Allah SWT adalah hak. Ini semua merupakan tauhid asma’
dan sifat Allah SWT.
.
Kalau demikian, orang yang bertalbiyah
dituntut selalu merasakan keagungan Allah SWT dan selalu menyerahkan
amal ibadahnya hanya kepada Allah SWT semata, bukan hanya sekadar
mengucapkannya tanpa dapat merasakan hakikat dari talbiyah tersebut.
.
.
.
E. Cara Membacanya
.
Talbiyah ini dibaca dengan mengeraskan
suara bagi kaum lelaki sebagaimana Hadith dari Zaid bin Khalid Al Jahni
r.a telah datang Malaikat Jibril dan berkata: “Wahai
Muhammad ajaklah sahabat-sahabat kamu untuk mengangkat suara mereka
bertalbiyah kerana Talbiyah itu adalah syiar atau ambing haji.” (Riwayat Ibni Majah.)
.
Dan dalam hadis As Saaib bin Kholaad, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
أتنى جبريل فأمرنى أن آمر أصحابى أن يرفعوا أصواتهم بالإهلال أو التلبية
“Telah
datang kepadaku Jibril dan dia memerintaahkan aku untuk memerintahkan
sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka dalam bertalbiyah.”
(Hadith diriwayatkan oleh At Tirmidziy, Abu Daud dan Ibnu Majah)
.
Oleh kerana itu para sahabat Rasulullah
صلى الله عليه وسلم mengeraskan suaranya dalam bertalbiyah hingga
kehilangan suara sebelum sampai di kota Makkah, sebagaimana dikisahkan
Abu Haazim:
كان أصحاب رسول الله إذا أحرموا لم يبلغوا الروحاء حتى تبح أصواتهم
“Para sahabat Rasulullah jika berihram (bertalbiyah ) belum sampai Rauha’ telah serak suara mereka.”
(Diriwayatkan oleh Said bin Manshur)
.
Manakala bagi kaum wanita tidak
disunatkan mengangkat suara mereka bahkan mereka diharuskan untuk
merendahkan suara mereka dalam bertalbiyah. Namun begitu mereka masih
boleh menguatkan suara ketika bertalbiyah jika tidak menimbulkan
sebarang fitnah.
.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari Ummi Salamah r.a. katanya: “Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai keluarga Muhammad! Sesiapa berhaji, maka hendaklah dia membaca Talbiyah dengan suara yang nyaring untuk hajinya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
.
.
.
F. Waktu Memulakan Talbiyyah
Pensyariatan Talbiyah bagi
orang-orang yang berihram haji dan umrah bermula sebaik sahaja memasang
niat ihram. Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitab at-Tuhfah pula
menyatakan bahawa bagi orang yang hendak berihram adalah wajib berniat
ihram di dalam hati dan sunat dilafazkan melalui lisan sebagai ittiba‘
(mengikut sunnah). Sebaik-baik sahaja selesai berniat disunatkan pula
bertalbiyah.
.
Talbiyah, tepatnya ketika akan melakukan
perjalanan, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه
وسلم dalam hajinya, berkata Jabir r.a.:
حتى إذا استوت به ناقته على البيداء أهل بالحج فأهل بالتوحيد لبيك اللهم لبيك ……
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
mulai membaca talbiyah ketika telah tegak untanya di al-Baida Baginda
ihlal (ihram) dengan haji lalu bertalbiyah dengan tauhid, labbaika
allahumma labaik ……”
(H.R Muslim)
.
.
.
G. Waktu Berhenti Bertalbiyah
.
Talbiyah ini disunahkan disuarakan ketika
kita telah melafazkan niat sampai menjelang mahu melakukan Tawaf untuk
Umrah dan ketika selesai melontar Jamrah Aqabah untuk Haji.
Para ulama berbeza pendapat dalam
penentuan waktu berhenti Talbiyah bagi orang yang berumrah atau berhaji
dengan beberapa pendapat:
.
1. Haji Tamatuk
Bagi jemaah yang hendak bertahallul
dengan mendahulukan Tawaf dan bercukur, ucapan Talbiyah nya terputus
ketika hendak melakukan Tawaf. Begitu juga bagi orang-orang yang
berihram Umrah, waktu berakhir ucapan Talbiyah nya ialah ketika sampai
ke Kaabah dan hendak memulakan Tawaf dengan menyentuh ‘Istilam’ (Hajar Aswad).
.
a. Ini pendapat Ibnu Abbas, Ata’, Amr
bin Maimun, Thawus, An-Nakha’i, Ats-Tsaury, Asy-Syafie, Ahmad dan Ishaq
serta Mazdhab Hanafi berdalil dengan hadis Ibnu Abbas secara marfu’:
كان يمسك عن التلبية في العمرة إذا اتلم الحجر
“Dia menghentikan Talbiyah dalam Umrah kalau telah menyentuh (istilam) Hajar Aswad.”
(HR Abu Daud, At Tirmidzy daan Al Baihaqy)
.
b. Dan juga hadis Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya dengan lafaz:
اعتمر رسول الله ثلاثا عمر كلها في ذي القعدة فلم يزل يلبي حتى استلم الحجر
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan umrah tiga kali umrah seluruhnya di bulan Zulkaidah dan terus bertalbiyah hingga menyentuh (istilam) Hajar Aswad.”
.
.
2. Selain Haji Tamatuk
Imam as-Syafi‘e menyebutkan dalam
kitab al-Umm bahawa waktu berakhir dan terputusnya ucapan talbiyah bagi
orang yang berihram haji berlaku apabila hendak melakukan lontaran batu
yang pertama Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar kerana disunatkan
bertakbir ketika melakukan lontaran tersebut sebagai ittiba‘ (mengikut
sunnah).
.
a. Dihentikan selepas batu yang pertama
di lempar ke Jumrah Aqabah dan ini pendapat kebanyakan dari mereka,
dengan dalil hadis Al fadl bin Al Abbas
كنت رديف النبي من جمع إلى منى فلم يزل يلبي حتى رمى جمرة العقبة (رواه الحماعة)
“Aku mengekori nabi dari Arafah ke Mina dan terus menerus bertalbiyah sampai melempar Jamrah Aqabah.”
.
b. Menghentikannya di kala batu terakhir
lemparan ke Jamrah Aqabah dan juga pendapat Ahmad dan sebahagian
pengikut Syafie serta dibawakan oleh Ibnu Khuzaimah dengan hadis:
أفضت مع النبي من عرفة فلم يزل يلبي حتى رمى جمرة العقبة يكبر مع كل حصاة ثم قطع التلبية مع آخر حصاة (رواه ابو خزيمة)
“Aku
telah keluar bersama Nabi dari Arafah lalu Baginda terus bertalbiyah
sampai melempar Jumrah Aqabah, Baginda bertakbir setiap lemparan batu,
kemudian menghentikan Talbiyah bersama batu terakhir yang dilempar.”
(HR Ibnu Khuzaimah)
.
.
.
H. Talbiyah Berjemaah
Tidak disyari’atkan bertalbiyah
secara berjemaah, dipimpin seorang imam, sebagaimana kelihatan ketara
dalam amalan sebahagian kaum muslimin di musim haji. Sebab hal ini
merupakan kebid’ahan dalam bertalbiyah . Tetapi apabila berlaku
bersamaan ucapan Talbiyah secara kebetulan tanpa disengajakan dan tidak
dipimpin, maka tidak mengapa kerana Rasulullahصلى الله عليه وسلم para
sahabatnya bertalbiyah dalam satu waktu, padahal jumlah mereka sangat
ramai. Tentunya hal tersebut besar kemungkinan berlaku dengan suara yang
seiring. Hal penting yang patut diperhatikan orang yang bertalbiyah
dalam meninggikan suara Talbiyah nya adalah jangan sampai mengganggu dan
menyakiti dirinya sendiri sehingga tidak dapat terus bertakbir.
.
.
.
I. Alam Turut Bertalbiyah
.
Semasa manusia bertalbiyah itu
pokok-pokok dan batu-batan di sekelilingnya juga akan turut berTalbiyah
dan menjadi saksi kepada manusia bahawa manusia itu bertalbiyah.
.
Hadith dari Sahal bin Saad r.a. sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :
“Apabila
setiap muslim bertalbiyah maka akan bertalbiyah bersama-samanya mereka
yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok
sepanjang perjalanan dari sini dan sana.”
(Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah.)
.
Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Ibrahim AS berkata:
يا أيها الناس إن ربكم اتحذ
بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب
أو شيئ فقالوا لبيك اللهم لبيك (رواه ابن جرير 17\106)
“Wahai
manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan
memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini
apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit
debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك ……”
(HR Ibnu Jarir 17/106)
.
.
Demikianlah berkenaan perihal Kalimah Talbiyah, semoga ianya dapat memberi sedikit tambahan pengetahuan kepada antum semua.
.
.
والله أعلم بالصوابWallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
0 komentar:
Posting Komentar