Minggu, 06 Oktober 2013

Fahami Arti Talbiyah Haji



.
‘Talbiyah’ ialah ucapan kehadiran yang dilafaz oleh para Jemaah Haji setelah berihram ketika berada di tanah suci. Bertalbiyah dengan menyahut seruan Allah, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.
.
Bacaan Talbiyah dilakukan secara terus menerus. Para jemaah digalakkan memperbanyakkan bertalbiyah di sepanjang perjalanan hingga sampai ke Makkah untuk mengerjakan rukun-rukun Haji atau Umrah. Talbiyah juga boleh ditambah dengan bacaan Tahlil. Talbiyah dihentikan setelah  sampai di Makkah sekembalinya para jemaah dari Arafah.
.
Talbiyah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Makkah yang dikumandangkan para jamaah haji. Sungguh suatu pemandangan yang menyentuh hati dan perasaan, pemandangan yang mengharukan dan membanggakan. Mereka berpakaian yang sama-sama putih bagi lelakinya dan berpakaian menutup aurat bagi perempuannya, tanpa membeza-bezakan kedudukan dan martabat dunia, bangsa dan suku kaum, ulama dan awam. Semuanya berpadu menyambut seruan Allah SWT dengan mengucapkan Satu Kalimat Talbiyah yang sama;

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

.
.
Firman Allah SWT:
22:27
“Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadaMu dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”
(Surah Al-Hajj :27)
.
Berkata Ibnu Abbas r.a. dalam menafsirkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Haj ini : “Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Ibrahim AS berkata:

يا أيها الناس إن ربكم اتحذ بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب أو شيئ  فقالوا لبيك اللهم لبيك (رواه ابن جرير 17\106)

“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك……” (HR Ibnu Jarir 17/106)
.
.
.

A.   Keutamaan Talbiyah

.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam ada menyebutkan dalam hadis Baginda mengenai fadhilat talbiyah.
.
1.  Disebutkan dalam satu riwayat daripada Sayyidina Abu Bakar As Sidiq Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم  telah ditanya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan Talbiyah dan menyembelih bintang korban.” (Hadis riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Zarr.)
.
2.  Ibnu Majah pula meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda: “Telah datang kepada ku Jibril alaihissalam seraya berkata: “Ya Muhammad! Perintahkan sahabat-sahabat Mu menyaringkan suara-suara mereka dengan talbiyah kerana talbiyah itu adalah syi‘ar ibadat haji.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
.
3.  Hadith dari Jabir bin Abdullah r.a. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم  : “Setiap mereka yang berihram bila menghabiskan masanya bertalbiyah  hingga tenggelam matahari maka akan tenggelam jugalah dosa-dosanya atau hapuslah atau bersihlah dosa-dosanya dan balik bersih seperti baru dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat Ibni Majah)
.
.
.

B.   Hukum Membaca Talbiyah

Jumhur Ulamak menetapkan bahawa Talbiyah  itu disyariatkan untuk dibaca oleh para Jemaah Haji dan Umrah ketika dalam keadaan Ihram. Jemaah Haji adalah disunatkan juga sentiasa melafazkan ucapan Talbiyah  sepanjang mengerjakan ibadah Haji dan Umrah.
.
Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmuk menyebutkan bahawa Imam as-Syafi‘e dan sahabat-sahabatnya sepakat mengatakan talbiyah adalah sunat (mustahab). Jika ditinggalkan, haji yang dikerjakan oleh seseorang itu tetap sah dan tidak dikenakan dam. Walau bagaimanapun dia tidak mendapat pahala fadhilat talbiyah tersebut.
.
Menurut pendapat yang mashyur dalam mazhab Syafi‘e iaitu qaul Jadid dengan berdasarkan dalil-dalil yang ashah bahawa tidak disunatkan bertalbiyah ketika Tawaf Qudum dan Sa‘ie kerana tawaf itu mempunyai zikir-zikir yang khusus dan lebih utama membaca zikir-zikir tersebut. Begitu juga tidak disunatkan membaca talbiyah ketika Tawaf Ifadhah dan Tawaf Wada‘ kerana ia terkeluar daripada waktu-waktu yang disunatkan.
.
.
.

C.   Makna Talbiyah

.
‘Talbiyah’ berasal dari perkataan Arab yang bermaksud membalas atau menjawab seruan sama ada dalam ibadat haji atau selain daripadanya seperti walimah. Dalam ibadat haji ia bermaksud ucapan orang-orang yang sedang berihram dengan mengucapkan;
.

Talbiyah Haji dan Makna Terjemahan Rumi



Lafaz Talbiyah di atas adalah talbiyah yang diucapkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  sebagaimana yang disebutkan dalam satu riwayat Bukhari daripada Abdullah bin Umar  Radhiallahu ‘anhuma.
 .
Dalam riwayat yang lain: “Daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم  setelah duduk di atas kenderaannya untuk bertolak dari masjid Zi al-Hulaifah, Baginda membaca Talbiyah: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”  (Hadis riwayat Muslim)
.
.
.

D.  Tafsir Makna Talbiyah

.
Talbiyah mempunyai makna yang agung, kerana mengandungi tauhid dan kebesaran Allah SWT. Hal ini dapat dilihat dari makna kata-kata dalam talbiyah tersebut, sebagaimana yang berikut ini:
.
(اللهم): Wahai Allah!
(لبيك): Adalah penegas yang mempunyai makna baru, maka daku mengulang-ulangi dan menegaskan bahawa daku menjawab atau menerima panggilan Tuhanku (Rabb) dan tetap dalam ketaatan kepada-Nya.
(لا شريك لك): Tiada satu pun yang menyekutukan Allah SWT dalam segala sesuatu.
(لبيك): Sebagai penegas bahawa daku menyahut panggilan Haji itu hanya semata-mata kerana Allah, bukan kerana pujian, ingin terkenal, ingin harta, dan lain-lain, akan tetapi daku berhaji dan menerima panggilan tersebut kerana Dikau sahaja.
(إن الحمد و النعمة لك والملك): Sesungguhnya daku berikrar dan mengakui bahawa semua pujian, nikmat dan kekuasaan itu hanyalah milik-Mu sahaja.
(لا شريك لك): Dan kesemua itu tidak ada sekutu bagiMu.
.
Jika diteliti makna kata-kata yang ada dalam talbiyah tersebut, didapati adanya penetapan tauhid dan jenis-jenisnya, sebagaimana disampaikan oleh Jabir berkata:

فَأَهَلَّ بِالتَّوْحِيْدِ

(Rasulullah SAW bertalbiyah  dengan tauhid)
.
Hal ini ampak jelas apabila kita mentelaah dan memahami makna kata-kata tersebut, lihatlah dalam kata-kata (لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك) menghapuskan kesyirikan dalam ibadah, kemudian (والملك لا شريك لك) terdapat Tauhid Rububiyyah kerana kita telah menetapkan kuasa yang mutlak hanya kepada Allah SWT semata.
.
Hal ini juga menuntut seorang hamba untuk mengakui tauhid uluhiyyah, kerana iman kepada tauhid rububiyyah memerlukan iman kepada tauhid uluhiyyah dan dalam kata (إن الحمد و النعمة لك) terdapat penetapan sifat-sifat terpuji pada zat Allah. Juga menetapkan semua perbuatan Allah SWT adalah hak. Ini semua merupakan tauhid asma’ dan sifat Allah SWT.
.
Kalau demikian, orang yang bertalbiyah dituntut selalu merasakan keagungan Allah SWT dan selalu menyerahkan amal ibadahnya hanya kepada Allah SWT semata, bukan hanya sekadar mengucapkannya tanpa dapat merasakan hakikat dari talbiyah tersebut.
.
.
 .

E.   Cara Membacanya

.
Talbiyah ini dibaca dengan mengeraskan suara bagi kaum lelaki sebagaimana Hadith dari Zaid bin Khalid Al Jahni r.a telah datang Malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Muhammad ajaklah sahabat-sahabat kamu untuk mengangkat suara mereka bertalbiyah  kerana Talbiyah  itu adalah syiar atau ambing haji.”  (Riwayat Ibni Majah.)
.
Dan dalam hadis As Saaib bin Kholaad, Rasulullah صلى الله عليه وسلم  bersabda:
أتنى جبريل فأمرنى أن آمر أصحابى أن يرفعوا أصواتهم بالإهلال أو التلبية
“Telah datang kepadaku Jibril dan dia memerintaahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka dalam bertalbiyah.” 
(Hadith diriwayatkan oleh At Tirmidziy, Abu Daud dan Ibnu Majah)
.
Oleh kerana itu para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم  mengeraskan suaranya dalam bertalbiyah hingga kehilangan suara sebelum sampai di kota Makkah, sebagaimana dikisahkan Abu Haazim:
كان أصحاب رسول الله إذا أحرموا لم يبلغوا الروحاء حتى تبح أصواتهم
“Para sahabat Rasulullah jika berihram (bertalbiyah ) belum sampai Rauha’ telah serak suara mereka.”
(Diriwayatkan oleh Said bin Manshur)
.
Manakala bagi kaum wanita tidak disunatkan mengangkat suara mereka bahkan mereka diharuskan untuk merendahkan suara mereka dalam bertalbiyah. Namun begitu mereka masih boleh menguatkan suara ketika bertalbiyah jika tidak menimbulkan sebarang fitnah.
.
Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dari Ummi Salamah r.a. katanya: “Saya mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Wahai keluarga Muhammad! Sesiapa berhaji, maka hendaklah dia membaca Talbiyah dengan suara yang nyaring untuk hajinya.”  (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).
.
.
.

F.    Waktu Memulakan Talbiyyah

Pensyariatan Talbiyah bagi orang-orang yang berihram haji dan umrah bermula sebaik sahaja memasang niat ihram. Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitab at-Tuhfah pula menyatakan bahawa  bagi orang yang hendak berihram adalah wajib berniat ihram di dalam hati dan sunat dilafazkan melalui lisan sebagai ittiba‘ (mengikut sunnah). Sebaik-baik sahaja selesai berniat disunatkan pula bertalbiyah.
.
Talbiyah, tepatnya ketika akan melakukan perjalanan, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dalam hajinya, berkata Jabir r.a.:
حتى إذا استوت به ناقته على البيداء أهل بالحج فأهل بالتوحيد لبيك اللهم لبيك ……
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mulai membaca talbiyah ketika telah tegak untanya di al-Baida Baginda ihlal (ihram) dengan haji lalu bertalbiyah  dengan tauhid, labbaika allahumma labaik ……”
(H.R Muslim)
.
.
.

G.    Waktu Berhenti Bertalbiyah 

.
Talbiyah ini disunahkan disuarakan ketika kita telah melafazkan niat sampai menjelang mahu melakukan Tawaf untuk Umrah dan ketika selesai melontar Jamrah Aqabah untuk Haji.
Para ulama berbeza pendapat dalam penentuan waktu berhenti Talbiyah bagi orang yang berumrah atau berhaji dengan beberapa pendapat:
.

1.  Haji Tamatuk

Bagi jemaah yang hendak bertahallul dengan mendahulukan Tawaf dan bercukur, ucapan Talbiyah nya terputus ketika hendak melakukan Tawaf. Begitu juga bagi orang-orang yang berihram Umrah, waktu berakhir ucapan Talbiyah nya ialah ketika sampai ke Kaabah dan hendak memulakan Tawaf dengan menyentuh ‘Istilam’ (Hajar Aswad).
.
a.  Ini pendapat Ibnu Abbas, Ata’, Amr bin Maimun, Thawus, An-Nakha’i, Ats-Tsaury, Asy-Syafie, Ahmad dan Ishaq serta Mazdhab Hanafi berdalil dengan hadis Ibnu Abbas secara marfu’:
كان يمسك عن التلبية في العمرة إذا اتلم الحجر
“Dia menghentikan Talbiyah dalam Umrah kalau telah menyentuh (istilam) Hajar Aswad.”
(HR Abu Daud, At Tirmidzy daan Al Baihaqy)
.
b.  Dan juga hadis Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya dengan lafaz:
اعتمر رسول الله  ثلاثا عمر كلها في ذي القعدة فلم يزل يلبي حتى استلم الحجر
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan umrah tiga kali umrah seluruhnya di bulan Zulkaidah dan terus bertalbiyah  hingga menyentuh (istilam) Hajar Aswad.”
.
.

2.  Selain Haji Tamatuk

Imam as-Syafi‘e menyebutkan dalam kitab al-Umm bahawa  waktu berakhir dan terputusnya ucapan talbiyah bagi orang yang berihram haji berlaku apabila hendak melakukan lontaran batu yang pertama Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar kerana disunatkan bertakbir ketika melakukan lontaran tersebut sebagai ittiba‘ (mengikut sunnah).
.
a. Dihentikan selepas batu yang pertama di lempar ke Jumrah Aqabah dan ini pendapat kebanyakan dari mereka, dengan dalil hadis Al fadl bin Al Abbas
كنت رديف النبي  من جمع إلى منى فلم يزل يلبي حتى رمى جمرة العقبة (رواه الحماعة)
“Aku mengekori nabi dari Arafah ke Mina dan terus menerus bertalbiyah  sampai melempar Jamrah Aqabah.”
.
b. Menghentikannya di kala batu terakhir lemparan ke Jamrah Aqabah dan juga pendapat Ahmad dan sebahagian pengikut Syafie serta dibawakan oleh Ibnu Khuzaimah dengan hadis:
أفضت مع النبي  من عرفة فلم يزل يلبي حتى رمى جمرة العقبة يكبر مع كل حصاة ثم قطع التلبية مع آخر حصاة (رواه ابو خزيمة)
“Aku telah keluar bersama Nabi dari Arafah lalu Baginda terus bertalbiyah  sampai melempar Jumrah Aqabah, Baginda bertakbir setiap lemparan batu, kemudian menghentikan Talbiyah  bersama batu terakhir yang dilempar.” 
(HR Ibnu Khuzaimah)
.
.
.

H.  Talbiyah  Berjemaah

Tidak disyari’atkan bertalbiyah secara berjemaah, dipimpin seorang imam, sebagaimana kelihatan ketara dalam amalan sebahagian kaum muslimin di musim haji. Sebab hal ini merupakan kebid’ahan dalam bertalbiyah . Tetapi apabila berlaku bersamaan ucapan Talbiyah  secara kebetulan tanpa disengajakan dan tidak dipimpin, maka tidak mengapa kerana Rasulullahصلى الله عليه وسلم  para sahabatnya bertalbiyah dalam satu waktu, padahal jumlah mereka sangat ramai. Tentunya hal tersebut besar kemungkinan berlaku dengan suara yang seiring. Hal penting yang patut diperhatikan orang yang bertalbiyah dalam meninggikan suara Talbiyah nya adalah jangan sampai mengganggu dan menyakiti dirinya sendiri sehingga tidak dapat terus bertakbir.
.
.
.

I.     Alam Turut Bertalbiyah  

.
Semasa manusia bertalbiyah itu pokok-pokok dan batu-batan di sekelilingnya juga akan turut berTalbiyah  dan menjadi saksi kepada manusia bahawa manusia itu bertalbiyah.
.
Hadith dari Sahal bin Saad r.a. sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم  :
“Apabila setiap muslim bertalbiyah maka akan bertalbiyah bersama-samanya mereka yang berada di sebelah kanan dan kirinya samada batu atau pokok-pokok sepanjang perjalanan dari sini dan sana.”
(Riwayat Tarmizi dan Ibni Majah.)
.
Ketika Allah SWT  memerintahkan Ibrahim AS untuk mengkhabarkan manusia agar berhaji, Ibrahim AS berkata:
يا أيها الناس إن ربكم اتحذ بيتًا و أمركم أن تحجوه فاستجاب له ما سمعه من حجر أو شجر أو أكمة أو تراب أو شيئ  فقالوا لبيك اللهم لبيك (رواه ابن جرير 17\106)
“Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah (Kaabah) dan memerintahkan kamu untuk berhaji kepadanya. Lalu menerima panggilan ini apa saja yang mendengarnya dari batu-batuan, pokok-pokok, bukit-bukit debu atau apa saja yang ada, lalu mereka berkata لبيك اللهم لبيك ……”
(HR Ibnu Jarir 17/106)
.
.
Demikianlah berkenaan perihal Kalimah Talbiyah, semoga ianya dapat memberi sedikit tambahan pengetahuan kepada antum semua.
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

0 komentar:

Posting Komentar

◄ Posting Baru Posting Lama ►
 

Sidebar One

Followers

Blogger templates

Silakan Paste Kode Buku Tamu yang sudah di kopi tadi Di Sini

Copyright © 2012. ARMINAREKA BEKASI - All Rights Reserved B-Seo Versi 5 by Blog Bamz